Marhaban Ya Sya’ban….~

Oleh : Ust Jamaluddin Bin Hj Johari

Selepas bulan Rejab , bulan Sya’ban dan selepas Syaban datang bulan Ramadhan.
Kesemuanya bulan di sisi Allah ada 12 bulan . Empat daripadanya bulan Haram iaitu
Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejabsebagaimana disepakati Ulama. Dalilnya firman Allah swt maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) “ (Al-Taubah ayat 36 )

Bukan bulan Rejab sahaja bulan Allah sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis yang tidak sahih dari Nabi saw yang sering kita dengari iaitu hadis yang dikatakan dari Anas bin Malik ra ” Bulan Rejab bulan Allah , bulan Sya’ban bulanku , bulan Ramadhan bulan umatku”. Hadis ini kata mijoriti para Ulama adalah hadis palsu ( maudhu’) serta dusta . Antara para Ulama yang mengatakan hadis ini palsu ialah Syeikh Dr Yusuf Qardhawi dalam kitabnya “Fatawa Semasa” ( jz 1 / ms 264 ) , Ibnu Qaiyim Al-Juaziyah dalam kitabnya berjudul “Himpunan Hadis-Hadis Palsu “( jz 3 / ms 123-125 ) , Hafiz Ibnu Hajar Asqalani dalam kitabnya berjudul “Penjelasan Terhadap Perkara Yang Menghirankan Mengenai Hadis-Hadis Tentang Rejab” dan As-Syaukani dalam kitabnya ” Faedah-Faedah Himpunan Hadis-Hadis Palsu” ( ms 439 ).

Kelebihan Bulan Sya’ban:

Pada bulan Sya’ban Nabi saw banyak berpuasa di dalamnya sebagaimana yang diriwayatkan oleh para Sahabat ra antara hadisnya:-

  • Maksud hadis :” ketika mana ( pada bulan Sya’ban) Nabi saw berpuasa sehingga kami ( para sahabat) berkata : sekiranya dia berpuasa seolah-olah tidak mahu berbuka dan jika dia berbuka seolah-olah tidak hendak berpuasa lagi ” ( diriwayat oleh Al-Bukahri , Muslim dan Abu Daud ,Al-Muntaqa min kitab At-Targhib Wat Tarhib : jz 1 / ms 318 , hadis bernombor 532 )

  • Hadis dari Usamah Bin Zaid ra bahawa dia bertanya Nabi saw : ” Wahai Rasulullah , aku tak pernah melihat engkau (banyak) berpuasa dalam mana-mana bulan sepertimana engkau (banyak) berpuasa dalam bulan Sya’ban? Jawab Nabi saw : ” itulah bulan di mana ramai manusia yang lalai dalam bulan (Sya’ban) yang berada dipeantaraan bulan Rejab dan Ramadhan. Pada bulan (Sya’ban) inilah diangkat naik segala amalan manusia ke Tuhan sekelian Alam , sedangkan aku sangat suka jika segala amalanku diangkat naik berkeadaan aku berpuasa” ( riwayat An-Nasaei , Al-Muntaqa min kitab At-Targhib Wat Tarhib : jz 1 / ms 318 , hadis nombor 531 )

  • Hadis dari Aisyah raha, bahawa Nabi saw berpuasa pada bulan Sya’ban keseluruhannya , aku ( Aisyah ) bertanya kepada Nabi : wahai Rasulullah , adakah bulan Sya’ban antara bulan-bulan yang paling engkau suka berpuasa ? jawab Nabi saw : Sesungguhnya Allah dalam setahun pada bulan Sya’ban akan mencatit kematian setiap jiwa , maka aku suka jika ajalku datang berkadaan aku berpuasa” (riwayat Abu Ya’la, kitab Mukhtasar At-Targhib Wat Tarhib : ms 96 , hadis nombor 309 )

  • Dalam setenggah riwayat seperti hadis Aisyah mengatakan bahawa Nabi saw tidak pernah berpuasa bulan Sya’ban sepenuhnya sama sekali. Yang dimaksudkan bahawa Nabi saw tidak terus menerus berpuasa sepanjang bulan Sya’ban sepenuhnya sama sekali kecuali bulan Ramadhan. ( kitab Fikh Puasa Syeikh Dr Yusuf Qardhawi : ms 124 -125 )

    Puasa mendekati hamba dengan Allah swt dan menjadikan hamba itu lebih layak diterima segala doa dan amalannya . Oleh itu , Nabi saw sangat memberi perhatian dengan banyak berpuasa pada bulan Sya’ban dimana ramai dikalangan manusia yang lalai dalam bulan ini diantara Rejab bulan haram (yang dihormati) dan Ramadhan bulan yang dimuliakan dan bulan Qur’an. Dari sinilah datangnya hikmah kelebihan bulan Sya’ban yang disyariatkan berpuasa di dalamnya dan juga bagi sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan yang dahulu kerana sakit atau bermusafir atau kerana haid bagi wanita maka hendaklah pada bulan Sya’ban ini dia segera membayar ( qadha ) hari-hari yang ditinggalkan pada Ramadhan yang lalu sebelum masuk bulan Ramadhan yang akan datang. Kerana kita manusia tidak tahu bilakah ajal kita akan datang , tidak ada siapa pun dapat menjamin kesihataan dan umurnya , oleh itu sebelum datang waktu sakit dan nyawanya dicabut maka janganlah dia lalai dari segala hutang-hutangnya dengan Allah swt hendaklah dia segera membayarnya. Itulah apa yang hendak dimaksudkan di dalam hadis Nabi saw di atas tadi.

    Hikmah dari berpuasa bulan Sya’ban ini juga adalah persediaan dan latihan diri kita sebelum berpuasa pada Ramadhan yang akan datang. Seumpama seorang ahli sukan yang akan berlatih dahulu sebelum masuk ke padang.

    Peristiwa Yang Berlaku Dalam Bulan Sya’ban .

    Pertukaran Qiblat :

    Peristiwa pertukaran Qiblat daripada Baitul Maqdis ke Baitullah Al- Haram di Mekkah berlaku pada tahun kedua dari Hijrah Nabawiyah dalam bulan Sya’ban.

    Selama 17 bulan Nabi saw bersolat mengadap kearah Baitul Maqdis. Baitul Maqdis adalah Qiblat para Ambiya’ bersolat kearahnya. Pertukaran arah Qiblat daripada Baitul Maqdis ke Baitullah sentiasa menjadi hasrat hati Nabi saw semenjak berada di Mekkah lagi beliau menharapkan pertukaran ini. Ketika berada di Masjid Haram sebelum Hijrah beliau cubamengumpulkan dalam solatnya mengadap kearah kedua-dua Qiblat dengan cara beliau bersolat di antara rukun Yamani dan Hajratul Aswad.

    Firman Allah swt maksudnya :

    “sesungguhnya kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan” ( Al-Baqarah :144)

    Ayat ini bermaksud bahawa Allah swt sentiasa memerhatikan Nabi saw menadah tanggannya ke langit ,berdoa kepada Allah dengan harapan diturunkan wahyu yang memerintah tukar arah Qiblat daripada Baitul Maqdis ke Baitullah Al Haram di Mekkah.

    Yahya Bin Muhammad Al Akhnas menceritakan kisah petukaran ini :”Rasulullah saw menziarahi Ibu Bashar bin Al Barra’ dalam keluarga Bani Salmah . Ibu Bashar telah menyediakan makanan untuk Nabi saw lalu Nabi pun makan hidangan itu bersama dengan beberapa orang sahabat. Sesudah makan masuk waktu zohor lalu Nabi pun bersolat bersama dengan para sahabat yang ada di situ di masjid Bani Salmah ( sekarang dikenali dengan nama Masjid Qiblatain sempena dengan petukaran ini Qiblatain maknanya dua qiblat ) . Sesudah Nabi saw bersolat zohor dua raka’at , turunlah wahyu Allah( ayat 144 di atas ) yang memerintah supaya Nabi saw berpaling kearah Kaabah di Mekkah lalu Nabi dan para sahabat yang bersolat bersamanya pun terus memusingkan tumit mereka ( 180 darjah pusingan) ke arah Masjid Haram di Mekkah , mengadap betul-betul ke arah Mizab di Kaabah ( sekarang ini menjadi tempat pancuran emas di salah satu dinding Kaabah di sebelah atas).

    ( kitab Kesan-Kesan Tarikh Madinah Al Munawarah Lama dan Baru : ms 138 )

    Petukaran Qiblat ini adalah satu ujian kepada kaum muslim ketika itu dan juga menjadi tamparan hebat kepada kaum Yahudi Madinah.

    Puasa Bulan Sya’ban.

    Soal Jawab :

    Oleh: Ust Jamaluddin Bin Hj Johari

    1. Adakah di sanahari-hari tertentu dalam bulan Sya’ban yang digalakkan berpuasa pada hari itu?

    Jawab Syeikh Dr Yusuf Qardhawi : “Bulan Sya’ban adalah antara bulan-bulan yang Nabi saw sangat memberi perhatian dengan banyak berpuasa pada bualn ini daripada bulan-bulan yang lain.

    Sebagaimana diriwayatkan dari Aisyah raha bahawa Nabi saw tidak pernah berpuasa selama sebulan kecuali bulan Ramadhan sahaja. Ini bercanggahan dengan apa yang dilakukan oleh kebanyakan orang Islam terutama di setenggah negara-negara Arab yang berpuasa selama 3 bulan berterusan iaitu pada bulan Rejab , Sya’ban , Ramadhan dan puasa 6 hari dalam bulan Syawal yang mereka gelar hari ‘Baidh’ ( hari telur ) . Mereka mula berpuasa dari awal bulan Rejab sehingga diakhiri pada hari ke tujuh dari bulan Syawal kecuali pada hari raya sahaja tidak mereka berpuasa . Berpuasa selama 3 bulan beterusan ini tidak ada dalil dari Nabi saw dan juga dari sahabat r.a serta para tabiein ( Nabi , sahabat dan para tabiein tidak pernah melakukannya).

    Nabi saw sudah menjadi kebiasanya berpuasa pada setiap bulan , sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Aisyah raha berkata :” Nabi saw berpuasa sehingga kami akan berkata : Baginda tidak akan berbuka , jika baginda berbuka kami akan berkata pula : baginda tidak akan berpuasa lagi . Kadang-kadang baginda berpuasa hari Isnin dan Khamis , kadang-kadang beliau berpuasa 3 hari setiap bulan terutama hari-hari baidh qamariyah ( hari 13, 14 ,15 bulan Islam) dan kadang-kadang baginda berpuasa satu hari , berbuka satu sepertimana puasa Nabi Daud ‘alaihissalam ,sabda Nabi :” Puasa yang paling disukai oleh Allah ada puasa Nabi Daud iaitu puasa satu hari, berbuka satu hari”.

    Pada bulan Sya’ban yang paling banyak Nabi saw berpuasa di dalamnya sebagai persiapan dan bersediaan untuk menyambut Ramadhan . Adapun menentukan hari-hari tertentu dalam bulan Sya’ban untuk berpuasa ( seperti hanya berpuasa hari nusfu Sya’ban sahaja) tidak ada satu dalil pun dari Nabi.

    Dalam perkara Agama tidak boleh menentukan hari-hari tertentu untuk berpuasa atau malam tertentu untuk bersembahyang malam tanpa ada dalil syara’ ( Al-Quran dan Sunnah). Menentukan masa , tempat untuk beribadat serta bentuk dan caranya ,ini adalah hak dan urusan Allah semata-mata , bukan urusan dan hak manusia dan tidak siapa yang boleh menentukannya.

    ( Fatwa Syeikh Dr Yusuf Qardhawi bertarikh 8/ 10/2002 )

    2. Adakah boleh berpuasa pada hari-hari selepas pertenggahan bulan Sya’ban dan adakah hukumnya Makruh ( yang dibenci ) ?

    Puasa selepas peretnggahan bulan Sya’ban (15 Sya’ban) adalah satu masaalah yang menjadi perselisihan pendapat para Ulama mengenainya . Hadis yang menjadi perselisihan faham di kalangan Ulama ialah :” Apabila datang pertenggahan bulan Sya’ban jangan kamu berpuasa” ( Hadis dari Abu Hurairah ra , dikeluarkannya oleh Ashabul Sunan dan telah disahihkan oleh Ibnu Haban dan selainnya .Kitab Nailu Autar : jz 4 / ms 349

    Para Ulama berselisih faham mengenai makna larangan dalam hadis ini adakah ia haram atau makruh atau larangan kepada orang tertentu sahaja ? Parajumhur Ulama ( majoriti ) membolehkan berpuasa selepas pertenggahan Sya’ban. Mazhab Hambali mengatakan hukumnya makruh. Mazhab Syafei mengharamkannya. Pendapat yang lain mengatakan lebih baik meninggalkannya bagi orang yang tidak menjadi kebiasaannya berpuasa seperti puasa Isnin dan Khamis .

    Di sini dikemukakan pendapat-pendapat para Ulama seperti berikut :-

  • Pendapat jumhur Ulama membolehkan puasa selepas peretenggahan Sya’ban berdasarkan hadis Umran bin Hushain bahawa Nabi saw bertanya :” wahai si pulan adakah engkau berpuasa surar ( ada orang menghuraikan makna surar dengan erti pertengahan) bulan ini? Jawabnya: tidak wahai Rasulullah . Nabi berkata lagi kepadanya : jika engkau berbuka maka berpuasalah dua hari dari pertengahan Sya’ban.

  • Pendapat mazhab Hambali mengatakan makruh berpuasa selepas pertengahan Sya’ban berdasarkan hadis Abu Hurairah ra itu “apabila datang pertengahan bulan Sya’ban jangan kamu berpuasa”.

  • Pendapat mazhab Syafei yang mengharamkan berpuasa selepas pertengahan Sya’ban berdasarkan hadis larangan berpuasa pertengahan Sya’ban.

  • Kata Syihabuddin Ramli :”Adapun yang menjadi pengangan dibolehkan berpuasa bilamana masuk pertengahan Sya’ban adalah jika ia menyambung puasanya sebelumnya itu ( maksudnya ia berpuasa sebelum pertengahan bulan Sya’ban kemudian ia sambung sehingga lepas itu ) jika ia baru hendak mula puasa dipertengahan Sya’ban maka haram berpuasa”

    Imam At-Tahawi mengumpul antara hadis yang melarang berpuasa pertengahan Sya’ban dari Abu Hurairah dengan hadis larangan mendahului satu hari berpuasa sebelum Ramadhan . Katanya: hadis pertama difahami larangan itu bagi sesiapa yang berpuasa menyebabkan ia menjadi lemah. Hadis kedua pula difahami larangan itu bagi mengelak dikatakan ia berpuasa Ramadhan .

    Kata Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Majmuk : “sekiranya ia hendak berpuasa sunat pada hari syak ( hari syak ialah hari yang dilarang oleh Nabi untuk berpuasa iaitu sehari sebelum masuk bulan Ramadhan) , maka boleh ia berpuasa pada hari itu dengan syarat bahawa sudah menjadi kebiasaannya ia melakukan puasa-puasa sunat seperti puasa Nabi Daud berpuasa sehari berbuka sehari atau puasa Isnin dan Khamis , kebetulan jatuh hari syak itu pada Isnin atau Khamis maka boleh ia berpuasa tetapi kalau bukan kerana kebiasaannya berpuasa sunat, ia sahaja hendak berpuasa pada hari syak itu maka hukumnya haram”

    As-Syaukani berpendapat :”majoriti Ulama membolehkan berpuasa sunat pada hari-hari selepas pertengahan bulan Sya’ban kerana mereka melemahkan hadis yang melarang berpuasa selepas pertengahan Sya’ban sebagaimana kata Imam Ahmad dan Ibnu Muein bahawa hadis itu ditolak”

    Kesimpulan, sebaik-baik pendapat yang boleh dipegang sebagai panduan bagi kita sebagaimana pendapat Imam Al-Qartubi yang telah mengumpul antara hadis larangan dan suruhan dengan merumuskannya katanya :”hadis larangan berpuasa selepas pertengahan Sya’ban adalah maksud larangan itu bagi orang yang tidak biasa berpuasa sunat . Maksud dalam hadis perintah berpuasa adalah bagi orang yang sudah menjadi kebiasaannya berpuasa sunat . Itulah apa yang hendak dimaksudkan oleh hadis-hadis tadi. Di dalam hadis larangan puasa sunat selepas pertengahan Sya’ban telah mengecualikan orang yang sudah menjadi kebiasaannya berpuasa sunat dengan sabda Nabi saw : “kecuali orang yang sudah biasa berpuasa maka hendaklah ia teruskan puasanya” . Tidak boleh sama sekali berpuasa sunat bagi orang yang tidak biasa berpuasa sunat.


    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: