11 September muncul lagi…~

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang…

Assalamu’alaikum warahmatullah….:smile:

Maha suci ALLAH dan segala puji adalah semata-mata untuk ALLAH, TUHAN Pemerintah alam…tiada TUHAN selain ALLAH dan ALLAH Maha Besar…selawat dan salam adalah untuk junjungan besar semulia-mulia Nabi dan Rasul dan begitu juga ke atas keluarga serta sahabat Baginda semuanya…

aLhamdulillah, syukur tak terhingga pada Yang Maha Esa kerana dengan izin-NYA, sekali lg kita dapat bernafas dan mengecapi segala nikmat kurniaan-NYA di bumi yang bertuah ini,alhamdulillah…hari ini, 11 September 2006M bersamaan 18 Sya’aban 1427H, genaplah 5 tahun Tragedi 11/09…tragedi yang membawa perubahan besar kepada seluruh penduduk dunia…tragedi yang dikatakan mungkin menjadi pencetus kepada perang dunia yang ke-4…dan tarikh keramat ini juga memberi tamparan dan impak yang hebat kepada seluruh ummat Islam di dunia…wallahu’alam…

InsyaALLAH, di sini akan aku kongsikan bersama artikel dari Agenda Daily…harap dapat difikir-fikirkan bersama…:smile:

DISEBALIK PEPERANGAN ANTITERORISME GLOBAL…

Oleh Ruhanie Ahmad

Kita sedang hidup dalam era Perang Salib Ketiga. Ruang waktu ini juga dikenali sebagai era Perang Dunia Kempat. Tetapi, kedua-dua identiti zaman mutakhir yang bertindih ini pula dipropagandakan oleh AS dan sekutunya, sebagai Peperangan Antiterorisme Global (PAG) – satu peperangan yang jelas mensasari wilayah Islam, dunia Islam, umat Islam, agama Islam, dan apa yang dikatakan sebagai teroris Islam antarabangsa.

Akibatnya, mulai awal abad ke-21, sejumlah wilayah Islam dan dunia Islam di Asia pun bergolak dan bermandi darah; beberapa organisasi Islam dilabel dan dimusuhi sebagai pertubuhan teroris internasional; beribu-ribu umat Islam dizalimi atau dibunuh secara melulu; agama Islam pula diperkecil-kecil dan dipersenda-sendakan.

Banyak pihak berpendapat, segala-galanya terjadi setelah WTC, di AS, ranap menyembah bumi, pada 11 September 2001. Menara kembar itu dirempuh dua pesawat komersil, yang kononnya dirampas, dikuasai, dan dikemudikan oleh sekumpulan teroris Islam antarabangsa. Beberapa jam selepas itu, Prsiden AS, George W. Bush, pun berkata kepada dirinya sendiri, bahawa AS dilanda peperangan.

        

        

Bila beliau membuat kenyataan rasminya pada hari yang sama, Presiden Bush berkata, serangan ke atas WTC adalah tindakan peperangan. Seterusnya beliau pun memberitahu negara-negara lain di seluruh dunia, sama ada mereka bersama AS, atau menyebelahi pihak pengganas terbabit.

Kenyataan-kenyataan di atas tidak memeranjatkan. Itulah reaksi Presiden Bush selaku pemimpin utama AS – negara superpower terunggul, terbesar dan paling perkasa di dunia.

Tetapi, beberapa hari selepas itu, terkeluarlah satu kenyataan yang sungguh menggemparkan. Kenyataan itu dikatakan dikeluarkan oleh Presiden Bush secara spontan dan berselamba. Tetapi, kenyataan itu amat dalam sekali maknanya, dan amat berbahaya sekali implikasinya.

Presiden Bush dikatakan mengeluarkan kenyataan itu sewaktu beliau bercakap kepada media secara bebas, tanpa bantuan penulis-penulis ucapannya, dan tanpa bantuan penasihat-penasihat politiknya. Beliau telah dipetik sebagai telah memberitahu rakyat AS, dan komuniti dunia, bahawa PAG adalah perang salib.

Para pegawai Presiden Bush dipercayai telah berusaha memperbetulkan kenyataan di atas kerana bimbang akan implikasinya. Bagaimanapun, pada mulanya, banyak pihak menyifatkan kenyataan itu sekadar mencerminkan kekcewaan dan kemarahan Presiden Bush.

Bagaimanapun, mulai 7 Oktober 2001, Afghanistan pun diperangi oleh AS dan sekutunya secara habis-habisan. Peperangan itu menggunakan bom nuklear pelbagai jenis. Bom berkenaan dibedilkan secara jarak jauh. Bom itu juga digugurkan secara rambang. Maka, Afghanistan pun jadi padang jarak, padang tekukur.

Mulai Januari 2002, tentera AS pula mula berpangkalan di Pulau Basilan, selatan Filipina. Kononnya untuk melatih tentera Filipina menumpaskan Kumpulan Abu Sayyaf yang dikategorikan oleh AS sebagai proksi Al-Qaeda di Asia Tenggara. Tidak lama sesudah itu, terjadilah macam-macam keganasan di Asia Tenggara, khususnya di Indonesia dan di selatan Thailand.

Dan, mulai Mac 2003, AS dan sekutunya pun mula menyerang dan menjajah Iraq hingga ke hari ini. Akibatnya, negara itu pun sentiasa bermandi darah dan dicengkam kemusnahan.

AS dan sekutunya menyifatkan peperangan di Afghanistan, kehadiran tentera AS di selatan Filipina, dan peperangan di Iraq, sebagai PAG. Tetapi, oleh kerana Afghanistan, Indonesia dan Iraq, adalah negara Islam, dan selatan Filipina serta selatan Thailand, adalah wilayah Islam, bukankah PAG merupakan satu peperangan yang jelas disasarkan kepada dunia Islam, negara Islam, wilayah Islam, umat Islam, dan agama Islam?

Jadi, bukankah ini yang dikatakan sebagai perang salib yang dimaksudkan oleh Presiden Bush, beberapa hari sesudah tragedi 11 September 2001? Jadi, tidak benarkah bila Presiden Bush menyifatkan PAG sebagai perang salib, beliau memang sebenar-benarnya menyifatkan PAG adalah perang salib antara Barat dan Islam?

Dan, tidakkah ini yang cuba disampaikan oleh Samuel Huntington, kepada seluruh komuniti dunia, menerusi bukunya The Clash Of Civilizations, sebaik sahaja Perang Dingin, atau Perang Dunia Ketiga, tamat pada akhir abad ke-20?

Akhbar S. Ahmad, Ketua Program Kajian Islam Ibn Khaldun dan Professor Hubungan Antarabangsa di American University, Washington DC, AS, menulis dalam buku Islam Sebagai Tertuduh, bahawa “sejauh ini, perang salib antara Barat dan Islam telah meletus dua kali. Perang Salib Pertama dimulai pada abad ke-11 dan berakhir pada abad ke-13. Perang Salib Kedua, yang berupa kolonisasi wilayah-wilayah Islam oleh bangsa-bangsa Eropah, terjadi pada abad ke-19 dan separuh pertama abad ke-20.”

Seterusnya, Akhbar S. Ahmad berpendapat bahawa: “Perang Salib kali ini (di abad ke-21) teramat dahsyat sekali.” Ini kerana PAG “telah berpecah-pecah menjadi banyak peperangan kecil yang kemudian meletupkan konflik-konflik lokal. Garis-garis pembatas menjadi kabur dan kebingungan melanda banyak orang. Dunia terancam menjadi sebuah mimpi buruk mengenai sebuah perang yang melibatkan seluruh penghuni planet bumi ini.”

Secara umumnya, Perang Salib Pertama dilancarkan oleh puak Kristian Eropah untuk menawan dan menguasai Baitul Maqdis. Keperkasaan tentera Islam pada ketika itu berjaya menumpaskan bala tentera kristian.

Perang Salib Kedua dikatakan bermula bila beberapa negara-bangsa Eropah mula menjajah negara asing di benua Asia dan Afrika. Penjajahan mereka dikatakan didorong oleh penggemblengan kuasa politik, perdagangan, dan pendakwahan kristian.

Ini termasuklah penjajahan Portugis ke atas Empayer Melayu-Islam Melaka, mulai 1511. Sebab itulah dalam buku Albuquerque: Caesar Timur – sebuah buku berasaskan teks-teks pilihan daripada surat-surat Alfonso de Alboquerque dan anaknya kepada Raja Portugis, menyebut bahawa antara sebab strategik Melaka diserang adalah seperti berikut:

“Untuk menghalau orang Islam dari negeri ini (Melaka) dan menghalang pengaruh golongan Muhammad daripada berkembang. Saya (Albuquerque) berharap kepada Tuhan, bahawa hasil daripada apa yang akan kita lakukan (menyerang Melaka), orang Islam akan terhapus dari India (Timur) sama sekali. Ini kerana kebanyakan daripada mereka hidup dengan perdagangan negeri ini dan seterusnya menjadi berkuasa, kaya dan berpengaruh serta menjadi pemilik harta benda yang bernilai…”

Kini, PAG, atau Perang Salib Ketiga, atau Perang Dunia Keempat, telah membunuh beribu-ribu umat Islam di Afghanistan, dan sedang membunuh beratus ribu lagi umat Islam di Iraq. PAG juga menyebabkan beberapa wilayah dan negara Islam di Asia Tenggara sentiasa bergolak. Bagaimanapun, jumlah sebenar mangsa PAG atau Perang Salib Ketiga, mulai 2001, terus dirahsiakan oleh pihak-pihak terbabit.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Ahmad Zidan, dalam buku World Arrogance, pula menghuraikan jumlah mangsa Perang Salib Pertama dan Kedua seperti berikut:

“Sejarah telah merekodkan jumlah umat Islam yang dibunuh oleh pihak kristian dan yahudi sejak 1099, bila bala tentera perang salib menyerang Jurusalem buat kali pertama. Antara tahun 1099 hingga tahun 1186, tentera salib kristian membunuh lebih satu juta umat Islam di Timur Tengah. Tentera upahan kristian Mongol pula membunuh lebih dari tiga juta umat Islam antara tahun 1221 hingga tahun 1258. Kristian Sepanyol membunuh berpuluh-puluh ribu umat Islam antara tahun 1150 dan tahun 1492. Mereka juga bersekongkol dengan kristian Peranchis untuk membunuh berpuluh ribu lagi umat Islam di Morocco. Sejak tahun 1830 hingga 1962, kristian Peranchis membunuh berpuluh-puluh ribu umat Islam di Algeria. Pada 10 Mei 1945, tentera Peranchis membunuh 45000 umat Islam, lelaki dan perempuan, tua dan kanak-kanak, yang mengambil bahagian dalam satu demonstrasi aman menentang penjajahan Peranchis di Algeria. Tentera facist Itali yang melanggar Libya dari 1922 hinga 1932, telah membunuh beribu-ribu umat Islam yang tidak berdosa. Kristian British pula membunuh beribu-ribu umat Islam setelah dia menjajah India, termasuk Afghanistan yang dilanggar pada 1848. Kristian Belanda pula membunuh beribu-ribu umat Islam sewaktu penjajahannya di Indonesia. Puak zionis dengan sokongan segolongan ahli politik British, membunuh umat Islam Palestin sejak 1948. AS, Israel serta sekutunya, telah secara langsung dan tidak langsung, membunuh beribu-ribu umat Islam di Lebanon dan Timur Tengah. Berpuluh-puluh ribu umat Islam dibunuh di Iran menerusi Perang Iran-Iraq yang dipelopori AS dan sekutunya, serta disokong oleh Russia. Pada waktu yang sama, Russia juga membunuh berjuta-juta umat Islam antara abad ke-16 dan abad ke-20. Ia juga menindas 50 juta umat Islam di negara-negara bekas jajahannya, dan 20 juta lagi sewaktu ia menjajah Afghanistan.”

Saya mencedok sepenuhnya huraian statistik di atas, dari buku Prof. Dr. Ahmad Zidan, bukan dengan niat jahat atau untuk menyemai dan menyemarakkan sentimen anti-kristian di zaman mutakhir. Saya tidak terniat begitu kerana Islam adalah agama yang mementingkan keamanan dan menitikberatkan kesejahteraan ummah, tanpa mengira agama.

Tetapi, saya memetik perangkaan di atas untuk membuka mata mana-mana pihak Islam dan bukan Islam, yang lupa sejarah atau buta sejarah. Jumlah angka kematian di atas tidak boleh dinafikan. Ia juga tidak termasuk jumlah umat Islam yang dibunuh oleh AS dan sekutunya sewaktu Perang Teluk pada 1991. Juga tidak termasuk umat Islam yang dibunuh dan diseksa sewaktu Perang Balkan, khususnya di Bosnia Herzegovina.

Saya juga meminjam huraian perangkaan di atas untuk menyedarkan Presiden Bush yang kini mempelopori Perang Salib Ketiga, Perang Dunia Keempat, dan PAG secara sekaligus. Saya mahu Presiden Bush dan juak-juak neoconservative di sekelilingnya, supaya jangan bertindak seperti drakula yang seolah-olah amat dahagakan darah umat Islam, semata-mata untuk mencapai niat, cita-cita, hajat dan matlamat penjajahan baru (neoimprialisme) mereka di abad ke-21. Kalau peringatan yang hendak saya sampaikan menerusi stastistik di atas disifatkan sebagai penuh prasangka, izinkan saya meminjam kata-kata seorang wartawan AS yang menulis tentang anti-perang salib terkini yang dipelopori oleh Presiden Bush.

James Carroll, menulis dalam buku Crusade: Chronicles Of An Unjust War. Katanya, para ilmuan mendapati terjadinya tujuh atau lapan kali perang salib dalam tempoh 200 tahun antara tahun 1096 dan 1291. Keseluruhan peperangan untuk menguasai tanah suci (Baitul Maqdis) itu disasarkan kepada pihak Islam. Carroll juga mendapati sekurang-kurangnya empat ciri-ciri utama perang salib yang wujud dalam pemikiran orang Barat. Ciri-ciri itu adalah seperti berikut:

Pertama: Perang salib menyebabkan buat pertama kalinya pihak gereja kristian mentakrifkan keganasan sebagai tindakan yang mulia. Sesiapa yang berjuang menerusi perang salib, jika terkorban, dijanjikan tempat di syurga.

Kedua: Minda yang dikongkong oleh saikologi perang salib terdorong untuk membahagikan dunia ini kepada puak “kita” dan puak “mereka.”

Ketiga: Saikologi puak “kita” dan puak “mereka” ini juga telah menimbulkan permusuhan dengan pihak-pihak bukan Islam yang tidak menyertai perang salib. Sebab itulah perang salib juga disasarkan kepada Kristian Ortodoks dan Albigensian. Keempat: Bagaimanapun, musuh dalaman yang paling dibenci adalah pihak yahudi.

Berasaskan ciri-ciri perang salib seperti di atas, Carroll pun mengutarakan soalan-soalan berikut.

Pertama: Tidak wajarkah kita (AS) bertindak kepada krisis (terorisme Islam antarabangsa) tanpa sekali lagi membahagikan dunia ini kepada puak “kita” dan puak “mereka”? Tidak wajarkah kita (AS) mendapatkan sokongan pihak-pihak yang terperangkap dengan isu terorisme Islam antarabangsa, seperti Pakistan dan beberapa negara Arab tertentu, dengan cara penuh berhemah, supaya mereka tidak pula dimusuhi oleh rakyat jelatanya sendiri?

Kedua: Mestikah kita (AS) mentakrifkan konflik mutakhir ini sebagai tindakan kebaikan menentang kedurjanaan?

Ketiga: Adakah peperangan satu-satunya cara kita (AS) bertindak kepada krisis (serangan yang terjadi ke atas WTC)? Di samping mengheret teroris ke muka keadilan, bukankah bijak kalau pada waktu yang sama, kita (AS) bertindak secara bersungguh-sungguh untuk menghurai dan menyelesaikan seluruh masalah akar-umbi yang menyebabkan kemunculan terorisme, terutamanya di dunia Arab?

Untuk mempertajamkan lagi persepsi kita terhadap Perang Salib Ketiga, wajarlah kita membaca buku-buku William Blum. Beliau terkenal dengan bukunya Rogue State. Bagaimanapun, dalam buku Killing Hope, Blum menghuraikan penglibatan tentera AS dan CIA dalam beberapa negara di seluruh dunia sejak Perang Dunia Kedua.

Menerusi buku ini, antara lainnya, Blum juga mendedahkan bagaimana AS telah mengharu-birukan negara-negara Islam seperti Iran pada 1953; Syria antara 1956 dan 1957; Indonesia antara 1956 dan 1958, dan pada 1965; Iraq dari 1972 hingga 1975, dan 1990 hingga 1991; Libya dari 1981 hingga 1989; dan Afghanistan dari 1979 hingga 1992. Sama ada secara kebetulan atau pun terancang, Afghanistan, Indonesia, dan Iraq adalah tiga negara yang jadi sasaran utama PAG, atau Perang Dunia Keempat, atau Perang Salib Ketiga, kali ini. Iran mungkin jadi mangsa yang setrusnya tidak lama lagi.

Apa yang dihuraikan oleh Blum dalam Killing Hope membuktikan bahawa secara pukul curi dan menerusi oprasi bendra palsu, AS juga telah menyebabkan banyak nyawa umat Islam, di dunia Islam, terkorban akibat keganasannya. Contohya, Menerusi buku Killing Hope, dalam bab mengenai Iraq 1990-1991: Desert Holocaust, Blum menghuraikan hakikat bahawa AS telah menggugurkan sejumlah kira-kira 90 juta kilogram bom yang mengandungi depleted uranium ke atas negara Iraq. Ini menjadikan pengeboman di Iraq itu sebagai pengguguran bom yang paling tertumpu dalam sejarah dunia.

Kerajaan AS sentiasa menafikan hakikat penggunaan bom mengandungi depleted uranium seperti di atas. Bagaimanapun, bom seperti ini terus digunakan dalam PAG, Perang Dunia Keempat, atau Perang Salib Ketiga, pada hari ini.

Maksudnya, bom jenis ini digunakan di Afghanistan dan di Iraq di abad ke-21. Hakikat ini ditegaskan oleh wartawan Amy Worthington dalam akhbar The Iadho Observer, AS. Dalam artikel berjodol Death By Slow Burn, Worthington menyebut, PAG di Iraq adalah satu peperangan nuklear. “Bush-Cheney telah pun menggugurkan berton-ton senjata mengandungi depleted uranium di Iraq.”

Seorang lagi wartawan, Neil Mackay, pula menulis dalam akhbar The Sunday Herald (Scotland) pada Mac 2003, bahawa tentera AS dan British memang menggunakan senjata mengandungi depleted uranium dalam PAG di Iraq.

Sebelum itu, pada Perang Teluk 1990-1991, AS dan sekutunya telah membedilkan 944,000 pusingan senjata mengandungi depleted uranium di Iraq. Akibatnya, kata UK Atomic Energy Authority, kira-kira 500000 rakyat Iraq dijangka maut akibat depleted uranium sebelum akhir abad ini.

Sebab itulah senjata jenis ini telah pun diklasifikasikan oleh PBB sebagai haram. Ini kerana ia menyebabkan pelbagai penyakit kronik kepada umat manusia yang menjadi mangsa perang nuklear. Antaranya adalah kanser dan kecacatan bayi.

Tetapi, AS tetap menggunakannya dalam peperangannya di Afghanistan dan Iraq di abad k-21. Demi PAG, demi Perang Dunia Keempat, dan demi Perang Salib Ketiga, AS dan sekutunya langsung tidak mematuhi larangan PBB ini.

Oleh itu, adakah AS dan sekutunya berperikemanusiaan, bila melancarkan PAG, Perang Dunia Keempat, dan Perang Salib Ketiga, ke atas wilayah Islam, dunia Islam, dan umat Islam? Siapakah yang berani menuduh dan mendakwa mereka sebagai telah melakukan jenayah perang paling dahsyat dalam sejarah manusia sejagat, selepas pengguguran bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun, pada 1945?

Jadi, demikianlah corak dan bentuknya PAG, Perang Dunia Keempat, dan Perang Salib Ketiga, secara sekaligus. Dalam peperangan ini, yang terkorban adalah umat Islam, yang menderita adalah umat Islam, yang musnah adalah dunia Islam, yang terancam adalah agama Islam.

Propaganda Barat cuba menafikan atau pun melencongkan hakikat dan kebenaran ini. Tetapi, inilah realitinya. Inilah realiti, kesan dan implikasi kepada minda Barat yang dipengaruhi saikologi perang salib. Inilah juga kemungkinannya realiti minda dan saikologi Presiden Bush, Perdana Menteri Tony Blair, serta anggota kabinet AS dan Britain, pada ketika ini.

Walau pun baru-baru ini, Presiden Bush dan Perdana Menteri Blair seolah-olah mengakui kesilapan mereka melanggar dan menjajah Iraq, mungkinkah satu hari nanti, mereka juga akan sanggup mengakui secara terbuka kepada dunia, bahawa PAG, atau Perang Dunia Keempat, adalah satu perang salib, iaitu Perang Salib Ketiga?

Para pemimpin dunia Islam pula bagaimana? Sedarkah mereka bahawa setelah AS dan sekutunya melanggar Iraq menerusi Perang Teluk 1990-1991, AS berakhir dengan kehadiran pangkalan tenteranya di Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Oman dan Emiriyah Arab Bersatu?

Sedarkah para pemimpin dunia Islam, bahawa akibat PAG di Afghanistan pada 2001, AS pula menubuhkan pangkalan tenteranya di Afghanistan, Pakistan, Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan, Kayrgyzstan, Georgia, Yemen dan Djibouti?

Mengapakah hakikat seperti ini boleh terjadi? Adakah mereka tidak insaf bahawa AS dan sekutunya kini memang jelas sedang melancarkan Perang Salib Ketiga dan Perang Dunia Keempat, secara sekaligus?

Tidakkah mereka insaf, bahawa kedua-dua peperangan ini sedang diselindungkan di sebalik PAG?

Kalau mereka sedar dan insaf, apakah tindakan dunia Islam untuk mencegah Perang Salib Ketiga ini? Mahukah mereka terus berbalah-balah seperti hari ini?

Atau, adakah mereka akan menggunakan mana sahaja pelantar diplomasi dunia, baik PBB, baik NAM, baik OIC, baik ASEAN, baik apa sahaja, untuk memperolehi satu penyelesaian yang terselaras dan segera dalam hal ini?

Seluruh persoalan ini adalah relevan. Rincikanlah segera demi suatu keamanan umat manusia sejagat yang abadi….

Jazakallahu khairan katheera…~


2 responses to “11 September muncul lagi…~

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: